Gerakan teguh dengan pendirian berjuang demi hak rakyat pelbagai kaum

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berpegang teguh dengan pendirian berjuang demi hak dan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama meskipun kini menyertai Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, sejak penubuhan parti itu pada tarikh hari ini pada 54 tahun lalu, parti Gerakan tetap mengutamakan dan melindungi hak serta kepentingan semua kaum.

Ujarnya, Gerakan akan terus bersuara demi rakyat, mempertahankan kesaksamaan dalam sebarang polisi yang berhubung kait dengan kepentingan serta kebajikan rakyat.

“Parti Gerakan merupakan sebuah parti yang ahlinya terdiri daripada pelbagai etnik. Kami akan terus berpegang dan memperjuangkan ideologi Parti sungguhpun kami merupakan ahli keluarga PN.

“Kami tetap akan bersuara demi kepentingan rakyat dan memantau kerajaan yang memerintah kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, serangan dan penularan Covid-19 telah mengakibatkan ekonomi dan kehidupan rakyat berubah.

Sehubungan itu katanya, adalah penting kepada kerajaan kini untuk memberi tumpuan mengendalikan hal-ehwal negara, memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara supaya rakyat hidup bersatu padu dan harmoni.

“Memandangkan keadaan penularan wabak Covid-19 di negara kita semakin pulih, dan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) telah diumumkan kerajaan, kami berharap kerjasama antara kerajaan dan rakyat dapat diteruskan dan dieratkan lagi.

“Ini untuk membanteras Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara kita secepat mungkin supaya kehidupan rakyat kembali normal,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *