Tindakan henti eksport ayam tergesa-gesa – Anthony Loke

DAP menyifatkan keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam dan membatalkan permit import (AP) bagi sebarang bahan makanan sebagai satu langkah “tergesa-gesa” dan hanya  menyelesaikan masalah isu bekalan ayam bagi jangka pendek.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, dengan tidak melihat masalah kekurangan bekalan, termasuk membabitkan barang makanan lain yang berlaku secara menyeluruh, perkara sama akan berulang.

“Apa yang dilakukan, keputusan seperti kerajaan kata batalkan AP untuk makanan dan sebagainya, itu satu tindak balas tergesa-gesa. Mereka tak lihat masalah secara keseluruhannya, jadi pelbagai jaminan diberikan tetapi ia tidak laku lagi, jaminan itu tetap menjadi masalah,” katanya lapor portal FMT ketika melawat Pasar Pudu, Kuala Lumpur, semalam.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan akan dihentikan mulai 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil untuk memberi keutamaan terhadap rakyat.

Katanya, ketetapan itu antara beberapa langkah jangka pendek yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bagi menangani masalah bekalan dan harga ayam ketika ini.

Sementara itu, diumumkan pada 18 Mei bahawa kerajaan memutuskan untuk menghapuskan syarat AP bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Loke berkata, apa yang berlaku ketika ini menunjukkan salah satu daripada kegagalan kerajaan dalam menangani masalah rakyat.

”Ini adalah isu asas yang penting membabitkan bekalan makanan,Kalau itu pun tak dapat tangani, bagaimana rakyat ada keyakinan terhadap kerajaan untuk tangani masalah lebih besar?,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan peranan Majlis Tindakan Sara Hidup yang diwujudkan kerajaan dalam menangani masalah membabitkan pengguna.

Katanya, majlis itu sepatutnya bertindak lebih awal sebelum sesuatu menjadi krisis.

“Majlis Kos Sara Hidup (ketika itu), semasa kita dalam kerajaan (Pakatan Harapan) ia dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri, sekarang kita tak tahu siapa pengerusi,” katanya.

Menerusi sidang medianya juga, Loke berkata, tinjauan pihaknya hari ini mendapati rata-rata peniaga, khususnya peniaga ayam, merungut kekurangan bekalan lebih 50%.

“Ada peniaga merungut bahawa sebelum ini dapat 1,600 ekor ayam sehari, kini tinggal 500 sehari dan mereka tak dapat jual kepada pelanggan individu. Kebanyakan ayam yang dapat hanya akan dijual kepada pelanggan tetap yang menempah untuk perniagaan kedai makanan. Malah harga siling ayam kerajaan tetap pada RM8.90 sekilogram, tetapi disebabkan bekalan kurang, ayam dijual pada RM11 sekilogram di pasaran,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *