Penjana Kerjaya

6 pengarah, pemilik syarikat ditahan bantu siasatan kes kemuka dokumen palsu

Oleh RIZQI ZABIDI

ENAM pengarah dan pemilik syarikat berbeza ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes menggunakan penyata akaun bank syarikat mengandungi butiran palsu untuk mendapatkan tender dari sebuah syarikat pembersihan di utara tanah air.

Sumber memaklumkan, kesemua yang ditahan itu merupakan lelaki berusia antara 38 hingga 49 tahun.

Katanya, seorang daripada individu terlibat ditahan di Pejabat SPRM Kedah manakala lima yang lain ditangkap di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Selain merakam percakapan individu ditahan, pihak SPRM turut merakam percakapan saksi-saksi terlibat serta mendapatkan dokumen yang relevan. Semua individu ditahan dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 berserta penjamin,” katanya.

Difahamkan kes tersebut mempunyai kaitan dengan tender penswastaan kutipan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.

Kesemua kesalahan itu dipercayai dilakukan pada 2019.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi Warta Rakyat mengesahkan penahanan keenam-enam individu berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Menurutnya kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *