GARA-GARA terlalu ghairah ingin bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15, pemimpin DAP, Dr Abdul Aziz Bari ditegur Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu diingatkan supaya menghormati proses rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan.
Khairol Najib berkata demikian ekoran kenyataan Abdul Aziz semalam menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang kini disandang Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Pemuda Amanah Perak ingin membuat teguran kepada pimpinan PH di semua peringkat agar menghormati mandat yang diberikan oleh kesemua parti anggota dalam PH terhadap jawatankuasa perundingan kerusi yang ditubuhkan dalam menguruskan hal pembahagian kerusi.
“Kenyataan terbuka yang bersifat peribadi harus dielak supaya proses perundingan dihormati dan semua parti dapat menjaga keharmonian dengan membawa apa sahaja isu berkaitan dalam mesyuarat rasmi jawatankuasa tersebut,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Beliau menambah, PH Perak tidak semestinya akur dengan kehendak Abdul Aziz yang disifatkannya sebagai hasrat peribadi.
Pada masa yang sama, Khairol Najib mengingatkan Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang Perak untuk memberi tumpuan lebih besar dalam usaha memperjuangkan isu-isu berkaitan negeri, untuk meningkatkan sokongan PH di negeri itu.
“Mengenai calon, PH Perak mempunyai ramai calon berkelayakan dan mempunyai merit yang baik untuk bertanding melawan siapa sahaja yang diletakkan oleh pihak lawan termasuk di parlimen Tambun.
“Sudah semestinya sebagai sayap pemuda, kami akan berusaha untuk meletakkan calon yang lebih bertenaga di setiap kerusi dalam PRU-15 dan berupaya memberi kemenangan kepada PH,” jelasnya.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada Amanah juga berhasrat untuk meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Tambun.
Walau apa pun, Ahmad Faizal dijangka mampu mengekalkan kerusi tersebut ekoran rekod prestasinya yang memberangsangkan sepanjang berkhidmat sejak PRU-14 lalu.
Leave a Reply