UMNO Johor sasar 20 kerusi Parlimen pada PRU-15

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

UMNO Johor yakin mengekalkan momentum kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sekali gus mampu memperoleh dua pertiga daripada 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, UMNO di negeri ini menyasarkan sekurang-kurangnya 20 kerusi untuk dimenangi pada PRU15 nanti berdasarkan kemampuan parti.

“Kalau kita lihat senario sekarang ini, sokongan rakyat dan momentum yang dimiliki parti, ia tentu sekali menjurus kepada lebih banyak kerusi Parlimen untuk kita menangi.

“Jika kita boleh menang 40 daripada 56 kerusi pada PRN yang lalu, ia memberi tafsiran ada peluang lebih besar kali ini untuk menang banyak kerusi dengan syarat kita mampu mengukuhkan jentera dan aset dalam parti khususnya penerangan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Penerangan UMNO Johor di Impiana Hotel Senai, Kulai, malam tadi.

Dr. Adham berkata, jentera penerangan bahagian parti di negeri ini pada masa ini sudah bersiap sedia untuk PRU-15 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, antara perkara yang akan menjadi pertimbangan penerangan ialah kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa berkempen kelak memandangkan sudah melangkah ke fasa endemik.

“Melihat kepada pembukaan sektor ekonomi sejak 1 April lalu, ia memberi bayangan bahawa ada lebih kebebasan untuk berkempen.

“Apapun, kita tetap akan menggunakan pendekatan hibrid iaitu menggunakan pertemuan fizikal serta menggunakan media sosial khususnya menarik pengundi baharu,” katanya.

Sementara itu, beliu berkata, PRU-15 dijangka diadakan lebih awal sekiranya Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pembangkang tidak akan disambung setelah tamat pada 31 Julai ini.

Sehingga kini katanya, belum ada sebarang perbincangan diadakan ke arah mewujudkan CSA 2.0 setelah perjanjian terdahulu akan tamat tempoh tidak lama lagi.

“Sama ada perjanjian itu akan diteruskan atau tidak, kerajaan berdepan senario paling penting iaitu membentangkan Bajet 2023 dan Perdana Menteri sentiasa mengutamakan perpaduan dalam kalangan jentera kerajaan baik di peringkat Pusat dan Jemaah Menteri.

“Sekiranya CSA 2.0 berlaku, ini bermakna wujud persefahaman antara kerajaan dan pihak pembangkang yang tentu sekali akan cuba berkompromi berhubung beberapa perkara yang akan menyebabkan kerajaan sedia ada meneruskan usaha yang dijalinkan itu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *