jajaran politik baharu AP pertanian muhyiddin

Rakyat tidak akan biarkan pemimpin ‘kleptokrat’ kembali kuasai Kerajaan Pusat – Muhyiddin

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

KERAJAAN yang dipimpin oleh pemimpin ‘kleptokrat’ dilihat tidak akan dibenarkan kembali berkuasa dalam negara kerana akan mengundang masalah yang lebih besar.

Sehubungan itu Pengerusi Parti Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggabungan kuasa antara parti berlainan boleh dipertimbangkan sekiranya dapat membantu menstabilkan dan membawa negara kembali kepada keadaan yang lebih baik berbanding ketika ini.

Ujar beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), gabungan antara parti itu juga adalah antara penyelesaian kepada pembentukan kerajaan memandangkan tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mutlak.

“Jika rakyat memberi sokongan kepada sesebuah parti misalnya PN antara 55 atau 60 peratus, maka gabungan PN dan parti lain yang sehaluan mungkin akan memberi kekuatan kepada kerajaan untuk menguruskan negara dalam keadaan lebih tersusun dan teratur sekali gus mengembalikan semula keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang di Juru Auto City hari ini.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, beliau turut beranggapan parti-parti politik yang sanggup ‘bergabung’ serta sama-sama berusaha menyelesaikan masalah rakyat dengan mengambil kira kepentingan negara melebihi kuasa mungkin sudah pasti mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini kerana jelas beliau, majoriti rakyat ketika ini sudah tidak berminat dengan parti yang hanya memikirkan soal kemenangan atau mahukan kuasa semata-mata.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, parti itu tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti di luar komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk PN dan Bersatu dalam persediaan berdepan PRU-15.

Kenyataan itu bagi menjawab kemungkinan PH bekerjasama dengan PN pada PRU-15 di bawah khemah besar dalam usaha memastikan pertandingan satu lawan satu dengan calon BN sekali gus mencerahkan semula peluang untuk merampas Kerajaan Pusat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *