Muhyiddin Yassin Malaysia

Mansuh AP, Kerajaan Pusat perlu berbincang dengan nelayan, pekebun – Muhyiddin

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memanggil persatuan nelayan, pekebun-pekebun sayur serta pengusaha berkaitan untuk berbincang kesan yang bakal dihadapi mereka ekoran keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) makanan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dapat membayangkan rata-rata golongan terbabit tidak bersetuju sepenuhnya dengan pelaksanaan dasar baharu tersebut.

Jelas beliau, golongan terbabit mungkin berasakan pemansuhan AP yang akan menyaksikan pelaksanaan pasaran terbuka akan menyebabkan hasil pertanian mereka tidak akan terjual disebabkan lambakan makanan import.

“Apabila sesuatu dasar itu berubah, kerajaan perlu memastikan pengusaha-pengusaha tempatan ini tidak rugi, jadi kita minta kerajaan berhati-hati dalam membuka pasaran terbuka ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang di Juru Auto City hari ini.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.

Menurut Ismail Sabri, dengan pemansuhan keperluan permit itu bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini berbanding kemestian AP. 

MAFI bagaimanapun memperincikan hanya empat jenis komoditi agromakanan tertentu iaitu kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair, tidak lagi dikenakan AP atau kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport.

AP untuk pengimportan beras pula masih lagi berkuat kuasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *