OPERASI mencari dan menyelamat menemukan mayat kedua pendaki wanita yang hilang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku Simpang Pulai, Ipoh, Ahad lalu ditemukan pukul 11.20 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, mayat yang cukup anggota badan itu ditemukan Unit Pengesan K9 di kawasan terowong berhampiran jalan besar.
Jelasnya, mayat ditemukan di bawah timbunan tanah dan batu di lokasi Sektor C kawasan terowong berhampiran jalan besar dan seterusnya kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan di lokasi berkenaan.
“Anggota badan mayat lengkap cuma ada kecederaan di badan dan kepala. Pada pukul 11.55 pagi mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurutnya, operasi pencarian hari ketujuh itu diteruskan sejak pukul 9 pagi dengan kekuatan anggota penyelamat seramai 43 orang dari pelbagai agensi.
Muhammad Shahrizal berkata, operasi pencarian tamat sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari tadi.
Ahad lalu, Dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air ketika mendaki gunung berkenaan kira-kira 5 pagi.
Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Namun, ketika dalam perjalanan kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.
Sebelum ini media melaporkan, pasukan penyelamatan menemukan sebelah kaki mangsa dan kemudian turut menemukan bahagian badan dipercayai milik seorang daripada pendaki terbabit.
Media kemudiannya turut melaporkan menemui beberapa cebisan pakaian mangsa selain turut menemukan lagi cebisan anggota badan dipercayai mangsa dua pendaki pada hari sama.
Leave a Reply