KERAJAAN negeri Perak menjangkakan lebih banyak taman didikan kanak-kanak (tadika) ditutup susulan peningkatan penularan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD).
Menurut Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, sehingga kini 42 tadika di Perak ditutup dengan daerah Kinta mencatat jumlah paling tinggi.
Sinar Harian melaporkan, penutupan tadika tersebut katanya, dibuat secara sukarela oleh pengusaha selain terpaksa ditutup mengikut Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kita jangka akan ada lagi tadika yang ditutup berdasarkan kes yang meningkat dengan mendadak.
“Setakat ini tiada kes kematian dicatatkan disebabkan HFMD di Perak, namun kita minta semua pihak berwaspada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut Bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Selama, hari ini.
Mohd. Akmal semalam melaporkan, sebanyak 42 tadika di Perak ditutup berikutan wabak HFMD, sehingga minggu epidemiologi ke-19 tahun ini, yang berakhir pada 14 Mei lalu.
Daerah Kinta mencatatkan penutupan tadika tertinggi iaitu 20 buah dan diikuti daerah Perak Tengah enam buah.
Secara keseluruhan, jumlah kes HFMD di Perak adalah 2,638 kes, berbanding hanya 159 kes bagi tempoh sama tahun 2021.
Daerah Kinta mencatatkan kes tertinggi iaitu 178 kes; diikuti Hilir Perak (127); Perak Tengah (71); Manjung (70); Batang Padang (63); Hulu Perak (51); Kerian (51); Muallim (47); Kampar (46); Larut, Matang; Selama (28) dan Kuala Kangsar (22).
Leave a Reply