Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
SEORANG anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) menjadi ‘hero’ apabila berjaya menyelamatkan seorang wanita yang cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang hari ini.
Difahamkan, anggota bomba berkenaan yang ketika itu tidak bertugas kebetulan berada di lokasi kejadian iaitu di Kilometer (KM) 3.4, dari Perai menghala ke bahagian pulau.
Dalam video kejadian itu yang tular di dalam media sosial petang ini, kelihatan anggota bomba terbabit meluru ke arah seorang wanita yang sedang berdiri di tebing Jambatan Pulau Pinang dipercayai untuk terjun.
Anggota bomba itu kemudiannya berjaya menyelamatkan wanita berusia 43 tahun berkenaan sebelum beberapa individu lain dipercayai anggita keluarga atau kenalannya turut menyelamatkan wanita terbabit.
Dalam pada itu, jurucakap PBPM Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 3.35 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati wanita berkenaan telah pun diselamatkan.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.25 petang,” katanya.
Difahamkan, ini merupakan kes keenam terjun dan cubaan terjun dari Jambatan Pulau Pinang sepanjang bulan ini sehingga hari ini.
Leave a Reply