Najib enggan komen dakwaan gambar tular ‘isteri baharu’

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mengulas mengenai sekeping gambar yang tular di media sosial sejak dua hari lalu sehingga mencetuskan spekulasi pemimpin UMNO itu berkahwin sekali lagi.

Memetik laporan Malaysiakini, bekas perdana menteri itu yang ditemui media terus berjalan ke arah keretanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di Jalan Duta selepas perbicaraan sebelah pagi berhubung dakwaan dia dan bekas CEO, 1MDB Arul Kanda Kandasamy terbabit dalam meminda laporan audit firma pelaburan negara itu.

Najib terus memasuki kereta dan dipandu pulang ke rumah.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mengucapkan ‘selamat pengantin baru’ kepada Najib dalam komen di Facebook.

Ini selepas bekas perdana menteri itu, memuat naik statusnya bersama Menteri Luar Singapura Dr. Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

“Selamat pengantin baru Datuk Seri!” tulis Wan Wan Ahmad Fayhsal.

Komen itu dibuat selepas tersebarnya sekeping gambar Najib dengan seorang wanita, yang mencetuskan spekulasi pemimpin UMNO itu mempunyai keluarga baru.

Najib berkahwin kali pertama dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar pada tahun 1976 ketika berusia 23 tahun.

Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohd. Nizar, Mohd. Nazifuddin dan Puteri Norlisa.

Selepas bercerai dengan Zainah pada 1987, Najib berkahwin pula dengan Rosmah Mansor.

Mereka memperoleh dua cahaya mata iaitu Mohd. Norashman dan Nooryana Najwa.

Dua tahun lalu, tersebar dakwaan sama bahawa Najib berkahwin dengan seorang wanita berusia 50 tahun.

Wanita itu bagaimanapun menafikannya dan membuat laporan polis.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *