OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) jasad seorang lelaki yang hilang di Sungai Kampung Kangka, Lundu dipercayai dibaham buaya, selepas kepalanya ditemukan semalam, diteruskan pukul 8 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superitendan Damataries Lautin berkata, mangsa, Sebarang Bingkok, 56, dilaporkan hilang sejak pukul 3 petang semalam dan dua jam selepas itu keluarganya menemui bahagian kepala mangsa yang hanyut dibawa arus.
“Mangsa dipercayai telah dibaham buaya, laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa.
“Bahagian kepala yang ditemui ahli keluarga mangsa, telah dihantar ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini, lapor Utusan Borneo.
Katanya, operasi SAR tersebut turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sarawak Forestry Corporation.
Sementara itu Damataries turut menasihatkan penduduk di sekitar kawasan kejadian untuk lebih berhati-hati.
“Terutamanya penduduk yang selalu ke sungai, kita nasihatkan agar selalu berhati-hati semasa menjalankan rutin harian,” ujarnya.
Leave a Reply