‘’ Tak ada perkara yang saya tak sanggup lakukan kalau sekiranya hujah itu dibawa kepada saya secara bersemuka. Ugut-ugut ini semua tak jalan.’’
Demikian ditegaskan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai reaksi terhadap kenyataan sekumpulan pesara yang menamakan kumpulan mereka sebagai Suara Veteran pada 11 Mei lalu yang mendakwa ribuan veteran ATM dari seluruh negara dijangka hadir dalam demonstrasi awal bulan depan bagi mengemukakan ketidakpuasan hati berhubung kebajikan mereka.
Pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran blueprint perumahan 3.0 Kementerian Pertahan di Kuala Lumpur, Hishammuddin menasihatkan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai pandangan atau keinginan tertentu berhubung isu kebajikan supaya terus bersemuka dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) sambil menegaskanntindakan berunsur ugutan tidak boleh diterima.
“Bagi saya sebagai menteri pertahanan yang penting ialah untuk mendekati dan melibatkan diri secara langsung dan mereka yang betul-betul ikhlas untuk membela kebajikan veteran dan tak ada perkara yang saya tak sanggup lakukan kalau sekiranya hujah itu dibawa kepasa saya secara bersemuka.
“Ugut-ugut ini semua tak jalan. Jadi kalau ada mana-mana pihak yang ada cadangan, serta pandangan, ada keinginan datang kepada Mindef, cakap. (Kita) sentiasa terbuka,” katanya lapor porta Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong turut mengingatkan bahawa setiap tindakan perlu difikirkan kesannya.
“Jangan kita gembar-gemburkan sesuatu… tapi saya tak boleh sekat mereka kalau mereka nak buat apa dia nak buat, buat tetapi fikir baik-baik. Dah bincang dengan kita dulu ke, apa yang diinginkan supaya yang penting pembelaan kepada veteran, berapa ratus ribu (veteran) yang ada, sama ada mereka (yang mahu demo) mewakili veteran-veteran itu atau tidak,” katanya.
Kata beliau, Mindef akan meneruskan apa yang termampu, sambil merujuk mengenai pelancaran blueprint hari ini dan agenda lain seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan melibatkan veteran tentera.
Sementara itu BERNAMA melaporkan, Hishammuddin berkata, Pra-Pelancaran Blueprint (Rangka Tindakan) Perumahan 3.0 hari ini adalah untuk menambah baik agenda perumahan demi kepentingan kebajikan anggota dan veteran ATM serta keluarga mereka.
Beliau berkata blueprint itu dibina dengan berlandaskan tiga objektif utama iaitu pembinaan, penyelenggaraan dan pemilikan.
“Ia merupakan kesinambungan daripada Blueprint Perumahan 1.0 yang saya sendiri cadangkan dan perkenalkan pada 2017 serta Blueprint Perumahan 2.0 yang diperkenalkan pada 2019. Anggota dan veteran ATM serta keluarga mereka dapat mendiami kediaman yang selesa dan kondusif serta terdapat empat program utama akan dilaksanakan di bawah Blueprint Perumahan 3.0,” katanya.
Hishammuddin berkata di bawah blueprint itu, sebanyak 12,733 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) akan dibina di bawah lima fasa bermula pada 2023 hingga 2030.
Beliau berkata lebih banyak RKMAT juga akan dinaik taraf daripada dua rumah menjadi satu rumah hingga 2030.
“Ini tidak termasuk 434 RKMAT yang telah siap diubah suai daripada dua kepada satu unit pada 2020 dan 2021 malah perabot-perabot lama juga akan digantikan dengan perabot baharu. Bukan itu sahaja, di bawah blueprint ini sebanyak 974 unit Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) akan dibina secara berperingkat di Kem Wardieburn, di sini manakala 6,400 unit lagi akan dibina secara berperingkat di Genting Klang pada 2027 hingga 2033, “ katanya.
Leave a Reply