mahathir melayu orang DAP

Tun Mahathir cabar Zahid buktikan dakwaan beliau bukan Melayu

TUN Dr Mahathir Mohamad mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan bukti bagi membuktikan dakwaan yang mempertikaikan status bangsa beliau sebagai orang Melayu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid yang didakwa berbohong ketika memfitnahnya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu.

Beliau mendakwa, ketika itu, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan kononnya kad pengenalan yang asal menamakan dirinya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.

“Dia dakwa bahawa IC biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

“Dakwaan ini dibuat Zahid kerana hendak tuduh bahawa saya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri.

“Saya tunggu apakah Zahid akan keluar bukti ini pada khalayak ramai. Tetapi sampai habis pilihan raya tidak,” katanya dalam laman blog miliknya, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Ahmad Zahid memburuk-burukkan beliau sedemikian untuk mempamerkan kepada umum bahawa beliau menipu mengenai status bangsanya.

Dr Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid mahu mempertikaikan kelayakannya memimpin UMNO, parti-parti Melayu yang lain dan seterusnya orang Melayu keseluruhannya.

“Kononnya saya “anak lelaki” dan bukan “bin”, jadi saya ini bukan Melayu.

” Ya, saya memang pun ada darah keturunan India dan ini saya nyatakan dalam buku saya. Saya tidak nafi. Tapi hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan saya adalah Mahathir bin Mohamad.

“Mengikut takrifan Perlembagaan Malaysia (Perkara 160) saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.

“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum Merdeka dan kami semua beragama Islam.

“Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” jelasnya.

Dr Mahathir menjelaskan, sebelum ini beliau tidak gemar menggunakan mahkamah walaupun ramai yang memfitnahnya kerana beliau sedar dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.

Namun, kali ini beliau berasa perlu bertindak kerana sikap Ahmad Zahid itu amat memualkan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong UMNO dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, tindakan mahkamah akan diambil jika Ahmad Zahid tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *