Nelayan Vietnam kaut 9,000 kg hasil laut di Malaysia

Oleh RAHIMI MOHAMAD

DUA buah bot nelayan disyaki dari Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia sempat mengaut kira-kira 9,000 kilogram (kg) hasil laut di negara ini sebelum dicekup pihak berkuasa di Mersing, semalam.

Malah, ketika ditahan, kedua-dua bot yang membawa 20 kru termasuk tekong itu turut memiliki 11,500 liter diesel yang mampu bertahan sehingga beberapa hari untuk berada di lautan.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) telah menahan dua buah bot nelayan asing tersebut kira-kira pukul 12.30 pagi di perairan Mersing.

Katanya, mereka ditahan selepas disyaki menceroboh dan menangkap hasil laut di perairan negara secara tidak sah selain gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri masing-masing.

“Kedua-dua bot itu ditahan dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Bersepadu di kedudukan kira-kira 7.9 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil, di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas 20 kru termasuk tekong kedua-dua bot, mereka disyaki warganegara Vietnam yang berumur antara 16 hingga 52 tahun kerana tiada dokumen pengenalan diri dikemukakan,” katanya.

Khairul Nizam berkata, hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3 juta termasuk bot, peralatan menangkap ikan dan bekalan diesel tersebut.

Katanya, kesemua tangkapan terbabit dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Maritim Malaysia secara tegas mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

“Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan,” katanya.

Tambah beliau, sebarang aduan jenayah di laut boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *