BERSTATUS Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal sejak lahir tidak menjadi penghalang bagi seorang guru, Zawati Yusoff, 52, untuk terus berbakti dalam mendidik anak bangsa.
Mengajar Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, guru bersemangat waja ini mula berkecimpung dalam bidang perguruan sejak 21 tahun lepas bagi mendidik pelajar pendidikan khas yang terdiri daripada golongan OKU.
Beliau yang tidak memiliki kedua-dua lutut sementara hanya paha dan betis bersambung berkata, kekurangan ini dilihat sebagai ‘satu kelebihan’ untuknya dalam memahami kerenah pelajar.
“Mengajar anak-anak pendidikan khas ini, ia satu tanggungjawab yang berat memandangkan mereka perlu diajar mengikut kesesuaian masing-masing.
“Mempunyai kesabaran yang tinggi merupakan antara sebab saya mampu mengatasi kesukaran dalam mendidik pelajar pendidikan khas yang terdiri daripada pelbagai kategori termasuk sindrom Down, lembam dan hiperaktif,” katanya kepada Bernama semasa berada di rumahnya di Kampung Chekok, Jalan Rambutan Rendang, Kota Bharu baru-baru ini.
Tambah beliau, tidak boleh disangkal bahawa sememangnya seorang pendidik berstatus OKU bukan satu perkara yang mudah selain turut berdepan dengan masalah kesihatan.

“Saya mudah mengalami kekejangan kaki apabila berjalan jauh, berdiri dalam tempoh terlalu lama dan sebagainya.
“Sudah menjadi lumrah apabila kekejangan kaki sebaik sahaja tiba di kelas. Namun, itu tidak menjadi masalah bagi saya untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Ibu kepada seorang anak lelaki berumur lapan tahun itu turut berkata matlamat beliau hanya satu, iaitu mendidik pelajar kurang bernasib baik untuk memperoleh kejayaan dunia dan akhirat setanding pelajar normal.
“Masa hadapan mereka pasti akan cerah sekiranya diberi didikan sempurna oleh guru-guru yang bertanggungjawab. Saya turut berharap guru yang lain, khususnya guru Pendidikan Khas agar tidak jemu dalam mendidik dan melatih pelajar-pelajar ini untuk menjadi insan berguna,” kata Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.
Pengorbanan serta penat lelah Zawati dalam memberi didikan cemerlang kepada anak-anak pendidikan khas selama ini jelas berbaloi apabila dirinya menerima Anugerah Guru Cemerlang OKU (Pendidikan) pada 2010, 2016 dan 2019 serta Anugerah Tokoh Zinnirah Al Rumiyah (OKU) daripada Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2021 – Bernama
Leave a Reply