SEORANG wanita yang disahkan meninggal dunia oleh doktor tiba-tiba ‘hidup semula’ semasa majlis penghormatan terakhir sebelum pengebumiannya.
Memetik laporan Mirror, Fagilyu Mukhametzyanov, 49, dari Kazan, Rusia sebelum itu pengsan di rumahnya setelah mengalami kesakitan pada bahagian dada.
Suaminya yang berumur 51 tahun membuat keputusan untuk meletakkan mayat isterinya dalam keranda terbuka pada majlis penghormatan terakhirnya.
Namun, dia menerima kejutan yang besar ketika memberi penghormatan terakhir terhadap isterinya di mana wanita itu tiba-tiba bangkit di hadapannya.
Selepas mendengar hadirin berdoa untuk rohnya, Fagilyu membuka matanya dan mendapati dia berada dalam situasi yang pelik.
Kemudian, dia mula menjerit sekuat-kuat hati sehingga menyebabkan semua yang hadir terkejut.
Mereka kemudian segera membawanya ke hospital namun dia hanya sempat hidup selama 12 minit ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi.
Kali ini, Fagilyu pergi untuk selama-selamanya.
“Saya sangat marah dan mahu penjelasan. Dia tidak mati pada mulanya dan mereka boleh menyelamatkannya,” kata suaminya.
Sementara itu, jurucakap hospital, Minsalih Sahapov berkata, siasatan akan dijalankan terhadap insiden tersebut.
Kejadian ‘mayat hidup semula’ semasa majlis penghormatan terakhir itu bukan yang kali pertama berlaku.
Awal bulan ini, Mirror melaporkan seorang wanita di Lambayque, Peru mengetuk kerandanya pada majlis tersebut.
Sebelum itu, Rosa Isabel Cespedes Callaca disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Leave a Reply