DENGAN lulusnya usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti dalam Perhimpunan Agung Khas semalam, kluster mahkamah berjaya mengorak langkah pertama dalam usaha mereka untuk kembali berkuasa.
Memandangkan pemilihan parti hanya akan diadakan dalam masa enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pemimpin-pemimpin kluster mahkamah yang dilihat masih mendominasi UMNO dijangka bakal dikitar semula sebagai calon.
Secara logik, langkah seterusnya yang akan diambil adalah untuk mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen lebih awal daripada tempoh penggal ini berakhir.
Walau bagaimanapun, permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti perlu mendapat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) terlebih dahulu.
Sama ada permohonan tersebut akan diluluskan atau sebaliknya, itu terpulang kepada budi bicara ROS.
Pada masa yang sama, kluster mahkamah UMNO seharusnya sedar bahawa ROS berhak untuk tidak meluluskan permohonan tersebut, sekali gus akan menyebabkan pemilihan parti perlu diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Begitu juga dengan Kabinet yang tidak semestinya tunduk kepada tekanan kluster mahkamah UMNO yang mahu PRU-15 diadakan lebih awal.
UMNO patut sedar bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi ‘abang besar’ dalam kerajaan sejak mereka tumbang pada PRU-14.
Memang benar, Perdana Menteri sekarang ialah Naib Presiden UMNO tetapi pokok-pangkalnya, kerajaan yang ada ketika ini bukan kerajaan UMNO / BN.
Selain BN, Kabinet dan blok penyokong kerajaan adalah terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sudah tentu, anggota-anggota Kabinet yang bukan daripada UMNO dan BN tidak boleh diarah-arah begitu sahaja agar bersetuju dengan desakan kluster mahkamah yang mahu Parlimen dibubar segera.
Hakikat bahawa ‘parti dan kerajaan adalah berbeza’ telah diingatkan oleh Ismail Sabri sendiri dalam reaksinya kepada media selepas Perhimpunan Agung Khas UMNO semalam.
Banyak pertimbangan melibatkan soal rakyat yang perlu diambil kira khususnya dari segi pemulihan sosioekonomi negara pasca krisis COVID-19.
Selain itu, kerajaan perlu mengambil kira tentang kemungkinan negeri-negeri yang tidak dikuasai BN seperti Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kelantan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum penggal ini berakhir.
Jika Parlimen dibubar lebih awal, maknanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), agensi-agensi kerajaan berkaitan dan jentera semua parti terpaksa dikerah tenaga dua kali untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pula. Tidakkah itu membazir masa, wang dan tenaga namanya.
Lagi pun, dalam masa tidak sampai setahun dari sekarang, Parlimen Ke-14 akan terbubar dengan sendirinya. Jadi, apa yang kalut sangat hendak bubar Parlimen dan buat PRU-15 lebih awal?
Biarlah Kabinet Ismail Sabri terus mentadbir sampai habis penggal. Selepas itu, kalau nak bergasak dalam pentas PRU-15, bergasaklah.
Leave a Reply