PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan anggota badan manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di Ipoh semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, anggota badan itu ditemukan di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.
“Kita telah menjumpai separuh anggota badan mangsa yang tidak dapat dikenal pasti lagi milik siapa dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) telah membawa turun anggota badan itu seterusnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh untuk tindakan selanjutnya.
“Anggota badan itu ditemukan di lokasi berbeza dari lokasi sebelah kaki yang ditemukan petang semalam. Anggota badan itu dijumpai di kawasan bawah manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pos Atap Baru di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di Ipoh hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR diteruskan hari ini bergantung kepada keadaan faktor cuaca iaitu operasi akan berhenti sementara sekiranya hujan.
Muhammad Shahrizal berkata, seramai 53 anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Malim Gunung Negeri Perak serta Unit Komunikasi RCRC Cameron Highlands.
Terdahulu, kelihatan pasukan SAR membawa keluar anggota tubuh berkenaan kira-kira 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.
Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras. – BERNAMA
Leave a Reply