PASUKAN Gerakan Am (PGA) menumpaskan satu sindiket sindiket yang menjual dan mengedar burung spesies dilindungi selepas melakukan lima serbuan di kawasan perumahan setinggan dan flat di Kuala Lumpur semalam.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 4 petang itu mendapat kerjasama anggota dan pegawai dari Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan.
“Menerusi serbuan tersebut empat lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia ditahan.
“Sindiket tersebut menjadikan beberapa buah rumah di kawasan perumahan setinggan dan rumah flat sebagai tempat penyimpanan dan penjualan hidupan liar yang dilindungi.
“Turut dirampas termasuk 71 ekor burung dan sangkar dengan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM105,700,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, serbuan ini dipercayai telah berjaya mengganggu gugat rangkaian pengedaran dan penjualan hidupan liar oleh satu sindiket di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Zulkifli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang berkenaan pemuliharaan hidupan liar supaya tampil ke balai berhampiran.
Leave a Reply