Israel lancar serangan udara, 5 maut di Syria

ISRAEL melancarkan serangan udara ke atas tengah Syria menyebabkan lima maut, termasuk seorang penduduk awam, lapor media negara ini, pada Jumaat.

“Israel melancarkan serangan udara dengan letupan sejumlah peluru berpandu, membabitkan beberapa sasaran di wilayah tengah.

“Serangan itu mengakibatkan lima terkorban,” lapor agensi berita rasmi, SANA yang memetik sumber pihak tentera.

Menurut laporan Berita Harian, sumber itu turut dipetik berkata, tujuh lagi mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak, selain kemusnahan material dalam kejadian berkenaan.

Dalam pada itu pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights pula memaklumkan, empat kru pertahanan udara meliputi seorang leftenan maut, manakala tujuh lagi tentera cedera.

“Pesawat tempur Israel melancarkan sekurang-kurang lapan peluru berpandu ke atas depoh senjata serta tapak Iran di kawasan Masyaf di wilayah Hama,” menurut badan pemantau itu yang berpangkalan di Britain dan bergantung pada rangkaian sumber meluas di Syria.

Insiden terbaru itu menyusuli serangan pada 27 April lalu yang menurut pemantau berkenaan, mengorbankan 10 pejuang termasuk enam tentera Syria.

Katanya, sebuah depoh peluru dan beberapa kedudukan berkait kehadiran tentera Iran di Syria merupakan antara sasaran serangan terbabit.

Media kerajaan di Syria pula mengesahkan empat terkorban dalam serangan berkenaan.

Sementara itu, tentera Israel memberitahu AFP, semalam, pihaknya tidak memberi komen atas laporan media asing. – AFP


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *