Toyota Camry terbakar, lelaki nyaris rentung

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

TINDAKAN pantas seorang lelaki yang keluar dari kereta jenis Toyota Camry miliknya yang secara tiba-tiba terbakar menyelamatkannya daripada rentung dalam kejadian pukul 7.50 malam tadi.

Mangsa seorang lelaki berusia 33 tahun itu pada mulanya mendapati berlaku kebakaran pada bahagian enjin ketika sedang memandu di Kilometer 162.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berdekatan Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Ketika kejadian, dia sedang memandu dari arah Butterworth menuju ke Nibong Tebal.

Mangsa tidak mengalami kecederaan dan api berjaya dipadamkan oleh pihak bomba tidak lama selepas kejadian

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern, apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa terlihat bahagian enjin keretanya mula terbakar dan terus memberhentikan kereta di lorong kecemasan sebelum keluar dari kenderaan.

“Lelaki itu tidak mengalami kecederaan dan api berjaya dipadamkan oleh pihak bomba tidak lama selepas kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, kejadian tersebut turut tular di dalam media sosial sejak malam tadi dengan netizen tertanya-tanya mengenai nasib pemandu kereta berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *