Sindiket antarabangsa seludup beratus tan kokain dalam gula tumpas

POLIS Dubai dan agensi penguatkuasa Perancis, Sepanyol dan Colombia berjaya membanteras satu sindiket jenayah terancang rentas negara yang menyeludup dadah melalui penghantaran gula dari Amerika Selatan ke Eropah.

Melalui operasi yang dikenali sebagai ,  ‘Sugar Cane’ pada 5 Mei lalu, Polis Dubai menahan seorang ahli sindiket tersebut dalam serbuan yang turut dilakukan di Perancis, Sepanyol dan Colombia.

Serbuan serentak tersebut berjaya merampas sebanyak 22 tan gula yang dicampur kokain diseludup dari Colombia melalui Pelabuhan Le Havre di Perancis. 18 penjenayah turut ditahan.

Inspektor General dan Pengarah Anti-Narkotik di Perancis (Ofast), Stéphanie Cherbonnier memuji sikap profesional dan tindakan pantas polis di Dubai dalam menahan penjenayah tersebut.

“Bahagian Narkotik pihak polis Dubai  telah memainkan peranan yang besar dalam operasi ini,” kata Cherbonnier, lapor portal berita Khaleej Times.

Sementara itu Pegawai Memerintah Polis Dubai, Leftenan Jeneral Abdullah Khalifa Al Marri berkata, operasi itu merupakan satu lagi kejayaan cemerlang kerjasama antara pasukan dan agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa  dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman dunia serta membanteras jenayah terancang antarabangsa.

Pengarah Jabatan Anti Narkotik Dubai, Brigadier Eid Muhamad Hareb pula berkata, segalanya bermula pada Jun 2021 apabila pihak berkuasa Perancis menyiasat beberapa syarikat yang didapati melakukan kesalahan ketika krisis pandemik Covid-19.

Katanya, siasatan mendapati syarikat-syarikat berkenaan dan pengurusan mereka menggunakan identiti palsu bagi menyembunyi aktiviti haram dan terlibat menyeludup dadah ke Eropah melalui penghantaran gula tercemar dari Colombia.

‘Melalui pemantauan yang dilakukan, 10 penjenayah ditahan di Perancis , tujuh lagi di Sepanyol dan seorang di Dubai.

Beliau mengesahkan hampir 900 beg gula-kokain dirampas di Thiais, Perancis selepas penghantaran tersebut tiba di Pelabuhan Le Havre.

Katanya, sindiket ini  turut terlibat dalam penyeludupan 12 tan tembakau yang berjaya digagalkan oleh polis Belgium pada Ogos 2021. Mereka juga menyeludup 600 kilogram kokain yang dirampas di Colombia pada September 2021 dan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram berjuta-juta Euro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *