SEBUAH pesawat membawa 11 penumpang dilaporkan terputus hubungan pada Rabu malam sebelum pesawat itu ditemukan di hutan berhampiran Nanga Eboko, di Cameroon, lapor Xinhua.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan Cameroon Jean Ernest Ngalle Bibehe dalam satu kenyataan.
“Pasukan penyelamat kini dalam perjalanan ke lokasi pesawat ditemukan untuk memberikan bantuan,” kata Bibehe.
Pesawat itu dalam perjalanan ke wilayah Belabo selepas berlepas dari Yaounde, ibu negara Cameroon.
Media tempatan melaporkan penumpang pesawat terdiri pekerja syarikat minyak.
Sementara itu, di China, seramai 25 orang cedera selepas sebuah pesawat penumpang tergelincir dari landasan dan terbakar ketika hendak berlepas dari lapangan terbang di Chongqing kira-kira 8 pagi Khamis, lapor Xinhua.Menurut sumber lapangan terbang pesawat penumpang kendalian Tibet Airlines itu membawa 113 penumpang dan sembilan anak kapal.
Semua penumpang telah dipindahkan manakala mangsa cedera dihantar ke hospital.
Dalam pada itu, di Brazil, sekurang-kurangnya dua maut manakala 14 lagi cedera pada Rabu selepas sebuah pesawat ringan terhempas di bandar Boituva, lapor pihak berkuasa.
Pesawat itu terhempas selepas berlepas dari Pusat Payung Terjun Nasional di Boituva, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan pejabat Datuk Bandar Boituva, pesawat itu milik syarikat pelancongan Skydive4Fun dan membawa seorang juruterbang serta 15 penerjun.
“Dalam sejarah 50 tahun aktiviti payung terjun Boituva ini merupakan nahas pesawat pertama di pusat itu. Ia hari yang sangat menyedihkan,” kata Datuk Bandar Boituva, Edson Marcusso.
Jurucakap bomba berkata mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan.
Sementara itu, Tentera Udara Brazil dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pakar sedang menjalankan siasatan di lokasi nahas. – BERNAMA
Leave a Reply