DEWAN Ulamak Pas hari ini menyifatkan cadangan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan supaya Pas dibubarkan sebagai tidak relevan.
Sebaliknya dalam kenyataan, Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Ahmad Yahya berkata, dewan itu menzahirkan rasa syukur dengan perubahaan yang telah dibuat oleh UMNO pada 2019 kerana peruntukan Fasal 3.1 Perlembagaan UMNO tersebut adalah selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS sejak awal penubunannya pada tahun 1951.
‘’Dewan Ulamak Pas Pusat bersedia untuk membantu UMNO bagi memastikan perubahan yang dibuat bukan sekadar di atas kertas sahaja dan UMNO benar-benar jujur untuk menegakkan Islam seperti yang diperjuangkan oleh Pas,’’ katanya.
Kenyataan Ahmad Maslan dikatakan menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada Pas apabila beliau mencadangkan Pas dibubarkan kerana UMNO turut membawa wadah perjuangan Islam dan sudah meminda perlembagaan partinya pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.
Dalam kenyataan itu, Ahmad menegaskan, Pas bukanlah semata- mata sebuah pertubuhan politik yang memperjuangkan Islam dari aspek Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sahaja, tetapi Pas memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.
‘’Dewan Ulamak Pas Pusat ingin menegaskan bahawa, Pas menjadikan Islam dan sumber-sumber hukumnya sebagai dasar dan panduan berpolitik dan berorganisasi sebagaimana dituntut oleh kehendak Perlembagaan Pas di dalam Fasal 3 (Dasar), Fasal 5 (Tujuan PAS), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan).
‘’Bahkan menjadi tanggungjawab kepada semua ahli Pas untuk taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar Pas sebagaimana dituntut oleh Fasal 85(1) Perlembagaan Pas (Pindaan 2020) . Justeru, Dewan Ulamak Pas Pusat berpendirian bahawa, cadangan supaya Pas dibubarkan adalah tidak releven kerana Fasal 3, 5, 6 dan 7 Perlembagaan PAS (Pindaan 2020) terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Fasal 3.1 Perlembagaan UMNO,’’ katanya.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan , Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan Ahmad Maslan itu tidak akan menjadi kenyataan.
Sebaliknya, beliau berkata, UMNO yang patut dibubarkan memandangkan dasar Islam sudah lama menjadi dasar Pas.
“Jika benar ada cadangan seperti itu, eloklah Umno dibubarkan kerana dasar Islam sudah lama menjadi dasar Pas, jika asas itu yang UMNO cadangkan, tetapi ia (bubar Pas) tentunya tidak akan menjadi kenyataan. “Kita perlu hormati hak parti politik untuk bergerak dan terlibat dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya.
Leave a Reply