AIRASIA Berhad akan memulangkan semula wang kepada penumpang yang terkesan akibat kelewatan penerbangan.
Perkara itu disahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dalam satu pertemuan bersama pengurusan tertinggi AirAsia, hari ini.
“AirAsia Berhad (bukan AirAsia X) membuat refund atau pulangan wang kepada penumpang, tanpa sebarang isu,” katanya di Twitter hari ini, lapor portal FMT.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu juga akan menambah pesawat secara berperingkat bagi menampung permintaan penumpang menjelang Julai, manakala berkenaan aduan pelanggan pula akan diselesaikan menerusi empat saluran AirAsia.
Nanta memaklumkan, usaha dilakukan itu adalah salah satu langkah mitigasi akan diambil oleh syarikat penerbangan itu bagi memastikan masalah kelewatan penerbangan tidak berulang dalam masa terdekat.
“Kami akan menambah baik dan melakukan yang lebih baik, tetapi keselamatan adalah yang utama, itu intipati pertemuan antara kementerian saya dengan pengurusan tertinggi AirAsia.
“AirAsia juga bersetuju untuk berikan kerjasama berkaitan isu pengguna dan KPDNHEP akan terus mengadakan libat urus dari semasa ke semasa,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Riad Asmat mewakili syarikat penerbangan itu, manakala Nanta, Ketua Setiausaha Kementerian Azman Mohd Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha Roszanina Wabah mewakili KPDNHEP.
Terdahulu, Nanta dilaporkan berkata, kementeriannya akan menjalankan siasatan dari sisi kepentingan pengguna berhubung isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan domestik melibatkan syarikat penerbangan AirAsia.
Ia susulan terdapat rungutan, aduan dan keluhan pengguna. Isu kelewatan penerbangan AirAsia ke pelbagai destinasi dalam negara dikesan berlaku sejak hujung bulan lalu dan masih berlanjutan.
Bagaimanapun, syarikat itu telah memohon maaf kepada pelanggannya dua hari lalu atas kesulitan yang berlaku.
Pada hari sama, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengarahkan syarikat penerbangan menyerahkan data berhubung penerbangan sepanjang tempoh perayaan bermula dari 29 April hingga 9 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan, Mavcom berkata pihaknya menerima aduan daripada pengguna berhubung pertukaran penerbangan tanpa notis.
Leave a Reply