UMNO mesti dengar teguran, jangan syok sendiri-Mohamad Hassan

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mengingatkan parti itu supaya terus menjadikan pentas wacana sebagai platform diskusi serta mendengar sebarang teguran daripada semua pihak termasuk pemegang taruh dan rakyat.

Beliau berkata, usaha itu perlu bagi memulihkan semula parti yang menjangkau usia 76 tahun itu agar kekal relevan dan diterima rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Jangan hanya perlu menunggu kehadiran tarikh 11 Mei yang bersamaan dengan ulang tahun penubuhan UMNO untuk berikrar memperkasakan parti dengan menyusun strategi, memperbaiki kelompongan dan kelemahan parti.

“Jangan tunggu (setiap) 11 Mei sahaja, ini (wacana) permulaan UMNO untuk mencerdaskan (parti). Kita akan jadikannya suatu platform untuk sentiasa membuat hubungan dengan pemegang taruh. UMNO tidak boleh sesama kita sahaja.

“(UMNO) mesti membuka telinga, minda kita kepada apa juga kritikan teguran dan pandangan daripada semua pihak untuk kita perbaiki dan untuk kita perkasakan semula UMNO dan menyusun strategi parti untuk terus relevan dengan masa,” katanya.

Mohamad berkata demikian semasa merasmikan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ sempena ulang tahun ke-76 UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

Beliau berkata, sudah tiba masanya UMNO terus digerakkan dalam usaha menjadi benteng kepada rakyat terutama ketika melangkah ke PRU-15.

“Jangan kita berbincang sesama sendiri, mesti dibuat macam ini (wacana) bawa semua orang pemegang taruh, NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Profesor, belia dan siapa sahaja yang ingin menyumbang nak melihat supaya UMNO supaya parti besar dan dominan terus relevan dan akan terus menjadi parti boleh dijadaikan sebagai asas kepada pentadbir negara.

“Oleh sebab itu saya sebut tadi, jangan kita syok sesama sendiri, buka telinga, buka minda kita, jangan kita buat UMNO seperti sebuah parti yang pegun,” jelasnya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *