SEORANG wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh mati ditembak tentera Israel, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.
Shireen dilaporkan terkena peluru hidup pada Rabu ketika sedang membuat liputan serangan Israel di bandar Jenin dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal, menurut kementerian dan laporan Al Jazeera.
Dia disahkan meninggal dunia di hospital.
Video kejadian menunjukkan Shireen ditembak di kepala, kata Nida Ibrahim dari Al Jazeera.
“Apa yang kita tahu buat masa ini ialah Kementerian Kesihatan Palestin telah mengumumkan kematiannya. Shireen Abu Akleh sedang membuat liputan serangan yang berlaku di Jenin, yang terletak di utara Tebing Barat, apabila dia terkena tembakan di kepala,” kata Ibrahim, bercakap dari bandar Ramallah, Palestin.
Ibrahim menggambarkan Shireen sebagai seorang wartawan yang sangat dihormati dan telah bekerja dengan Al Jazeera sejak permulaan perjuangan Intifada Palestin sekitar tahun 2000.
Shireen juga dilaporkan memakai press vest ketika ditembak.
Turut menjadi mangsa ialah seorang lagi wartawan Palestin, kata jurucakap Kementerian Kesihatan.
Ali Samoudi, yang bekerja untuk akhbar Quds yang berpangkalan di Baitulmaqdis, dilaporkan dalam keadaan stabil.
Leave a Reply