SEORANG pelajar lelaki berusia 13 tahun maut manakala seorang lagi yang berusia 14 tahun cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa yang maut merupakan pelajar Tingkatan Satu dan seorang lagi mangsa patah kaki kanan serta cedera di bahagian badan.
Beliau memberitahu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.
“Polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 12.30 tengah malam. Siasatan mendapati kemalangan berlaku membabitkan dua buah motosikal yang ditunggangi pelajar berusia 13 dan 14 tahun.
“Ketika kejadian, pelajar berusia 13 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM warna biru sedang dalam perjalanan dari arah Penaga menghala ke Kepala Batas.
“Apabila sampai di lokasi kejadian motosikal terbabit telah memotong sebuah kereta di hadapannya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi pelajar berusia 14 tahun dari arah bertentangan” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.
Katanya, kedua-dua motosikal yang ditunggangi pelajar berkenaan adalah milik bapa mereka.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply