BEKAS Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa 63 peratus daripada pengundi di negara ini tidak tahu untuk memilih mana-mana parti dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Justeru, beliau yang juga calon Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR berkata, golongan ini mengharapkan satu pembaharuan dan isyarat jelas daripada parti politik yang bertanding.
Memetik laporan Berita Harian, beliau bagaimanapun yakin Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang untuk menang sekali lagi dalam PRU akan datang, dengan syarat keyakinan rakyat terhadap gabungan itu perlu dipertingkatkan.
“Kita tengok keadaannya ialah undi UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertambah. UMNO-BN masih lagi berada pada takat sokongan yang sama pada 2018, tetapi penyokong PH yang mengubah kerajaan pada 2018 membuat keputusan untuk mengalihkan sokongan itu kebelakangan ini kepada Perikatan Nasional (PN).
“Ia menyebabkan dalam pertembungan tiga penjuru, BN tetap kembali tetapi sebenarnya dengan undi minoriti rakyat. Realitinya, 63 peratus pengundi negara ini tidak tahu untuk memilih mana-mana parti apabila masuk PRU akan datang dan mereka mengharapkan satu pembaharuan dan isyarat jelas daripada parti politik bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Berani Semuka bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertajuk Siapa Layak Bersama Anwar? yang dianjurkan Sinar Harian, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata penting untuk PH meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu memiliki kemampuan untuk mentadbir sekiranya diberi peluang, bukannya sekadar berunding di bawah strategi khemah besar sehingga melalaikan apa yang disuarakan rakyat.
“(Kita perlu yakinkan rakyat) dengan cara kita ada penyelesaian, kita ada pimpinan dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi kembali hati rakyat melalui gagasan itu dan bukannya dengan cara kita terus berunding sehingga kita melalaikan apa yang disuarakan oleh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan turut menyenaraikan beberapa faktor yang menyebabkan kelesuan politik dalam kalangan rakyat.
Katanya, ini termasuklah isu ekonomi sehingga tidak lagi mampu menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal kepada anak muda, isu perbekalan makanan yang negara banyak bergantung kepada import, kenaikan harga barang dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk peristiwa ‘Langkah Sheraton’ lebih dua tahun lalu.
Beliau berkata, faktor dan peristiwa berkenaan mengakibatkan berlakunya kelesuan politik dan perkara itu dizahirkan dalam beberapa siri PRN lalu sehingga memperlihatkan semua parti lebih sibuk mencatur mendapatkan laba, kedudukan dan kuasa daripada benar-benar bersaing menyelesaikan masalah berbangkit.
Leave a Reply