Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG murid Tahun Satu berdepan detik cemas apabila diculik seorang lelaki dengan menunggang motosikal di Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang, pagi tadi.
Semasa kejadian tersebut, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu sedang berjalan kaki sebelum suspek datang dan mempelawa untuk menghantarnya pulang ke rumah sebelum bertindak melarikannya.
Difahamkan suspek kemudian berhenti di sebuah stesen minyak bersebelahan sebuah restoran makanan segera sebelum kanak-kanak itu menjerit meminta tolong orang ramai.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seorang lelaki membuat panggilan di Balai Polis Taman Scientex pada pukul 11.30 pagi memaklumkan suspek sudah ditahan orang awam di restoran makanan segera tersebut.
“Sepasukan anggota cegah jenayah dari Balai Polis Taman Scientex bergegas ke tempat kejadian dan menahan suspek. Turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda Dash yang digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan mendapati suspek merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pesakit mental dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamine.
Menurutnya, suspek yang berusia 20-an juga masih dikehendaki polis di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Polis Johor menasihatkan ibu bapa, penjaga dan pelajar agar lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan.
Hari ini penduduk Pasir Gudang digemparkan dengan kejadian tersebut selepas tular rakaman video dan gambar seorang lelaki yang memakai kemeja-T lengan panjang dan berseluar panjang berjalan sambil mendukung kanak-kanak berkenaan.
Leave a Reply