SEORANG lelaki ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan di tepi jalan masuk ke kuari di Batu 11, Labu, Nilai tengah hari tadi.
Lelaki berkenaan yang ditemukan tanpa baju pada mulanya disangka masih hidup.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, pihaknya menemui dokumen identiti milik lelaki berkenaan dan dipercayai warga Bangladesh.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki memaklumkan menemui mayat di tepi jalan dekat Batu 11.
“Maklumat diterima mayat berkenaan tidak diketahui identiti sebelum sepasukan polis termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai bersama ambulans bergegas ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas mayat menemukan satu salinan dokumen warga Bangladesh yang disyaki milik si mati.
“Tempat kejadian ialah jalan menuju ke kuari Batu 11 dan kawasan dikelilingi kebun kelapa sawit.
“Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut hadir ke tempat kejadian dan menjalankan siasatan di lokasi.
“Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.
Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil memberikan maklumat di balai berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Nor Nikman Ahammed di talian 013-6262415.
Leave a Reply