Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
KERAJAAN Negeri Pulau Pinang sudah menyerahkan senarai nama lima doktor yang didakwa sebagai ‘pembuli’ di Hospital Pulau Pinang (HPP) Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin berkata, lima doktor berkenaan didakwa paling ‘toksik’ di HPP.
Bagaimanapun jelas beliau, lima doktor berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kes seorang doktor pelatih di HPP yang maut akibat terjatuh dari sebuah apartment di Jalan Datuk Keramat baru-baru ini.
”Saya telah menghantar nama lima doktor yang didakwa sebagai pembuli di HPP untuk diperiksa oleh menteri dan YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin telah menjawabnya.
”Nama yang dikemukakan ini tidak ada kaitan dengan kes kematian doktor pelatih di HPP baru-baru ini kerana kes itu masih dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang doktor pelatih di HPP maut selepas dipercayai terjatuh dari kediaman sewanya dari aras 23 di Jalan Dato Keramat, Georgetown dalam kejadian 17 April lalu.
Sementara itu Norlela berkata, beliau mengambil keputusan menyerahkan nama doktor terbabit kepada KKM selepas Exco Kesihatan Negeri Sembilan turut berbuat demikian dengan menyerahkan dua nama sebelum ini.
Leave a Reply