KETUA UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan tiada dalam pengetahuan beliau sama ada secara langsung atau tidak yang memaksa Datuk Seri Sulaiman Md Ali menandatangani dokumen untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
Sehubungan itu beliau menyifatkan, dakwaan sesetengah pihak berhubung perkara itu sebagai tuduhan liar yang bertujuan memecahbelahkan UMNO Melaka yang sedang bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri menegaskan, tidak wajar untuk beliau serta pemimpin UMNO lain tidak menghormati keputusan pucuk kepimpinan parti sejajar janji dalam manifesto dibuat pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, tahun lalu.
Ab Rauf menasihatkan semua pemimpin UMNO negeri yang pernah membangkitkan isu berkenaan tanpa bukti dan asas kukuh supaya menghentikannya bagi memberi fokus kepada usaha membangunkan Melaka.
“Selaku Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, tidak berada dalam satu keadaan untuk memaksa Ketua Menteri meletakkan jawatan, untuk apa memaksa beliau (Sulaiman) kerana tiada arahan atau keputusan daripada pucuk kepimpinan parti untuk melakukannya./
“Saya bersama Sulaiman dan semua jentera negeri berada dalam keadaan harmoni dalam menjalankan tugas membangunkan negeri, selaras dengan misi manifesto yang sudah kita buat,” katanya lapor Berita Harian.
ADUN Tanjung Bidara itu turut mengingatkan semua pihak tidak membuat tuduhan liar yang boleh mengeruhkan suasana untuk menghadapi PRU15 kelak.
Semalam, Pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Rospandi Leman, dilapor tidak menafikan wujud paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.
Kenyataan itu susulan dakwaan dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
Kelmarin, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad, menafikan khabar angin mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri serta menganggap ia sebagai fitnah dan tidak berasas.
Sulaiman yang juga ADUN Lendu mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 Nov tahun lalu selepas Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.
Leave a Reply