JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan punca kematian tahanan di lokap Balai Seri Alam, Johor Bahru, kelmarin adalah disebabkan radang paru-paru akibat dijangkiti Covid-19.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, bedah siasat terhadap tahanan berkenaan sudah dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, semalam dan mendapati tiada sebarang kecederaan.
“Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Azri berkata, bagaimanapun pihaknya akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.
Kelmarin, Azri dilaporkan berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu yang ditahan atas kesalahan dadah ditemui lemah dalam lokap berkenaan.
“Pada pukul 8.35 pagi, tahanan itu berada dalam keadaan lemah dan pegawai bertugas menghubungi Klinik Kesihatan Masai, Johor.
“Hasil pemeriksaan pegawai kesihatan mengesahkan tahanan itu meninggal dunia pada 9.35 pagi,” katanya.
Leave a Reply