Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
TARIKH 9 Mei 2018 tercatat dalam sejarah negara sebagai hari hitam buat UMNO apabila parti yang telah mendominasi politik sejak sekian lama boleh tersungkur dan pentadbiran kerajaan pusat bertukar tangan kepada pembangkang.
Penolakan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada masa itu antaranya disebabkan skandal terbesar 1MDB yang mana kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai watak utama dalam skandal melibatkan wang berbilion ringgit itu.
Persepsi terhadap isu integriti melibatkan pemimpin utama UMNO akan lekat dalam pemikiran rakyat sampai bila-bila dan tidak akan mudah untuk dilupakan walau dengan apa cara sekalipun.
Bahkan satu dunia mengetahui kes rasuah membabitkan Najib yang sudah disabitkan bersalah dalam kes SRC International; kes 1MDB Najib yang sedang dalam perbicaraan dan perbicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Skandal-skandal tersebut (kecuali kes SRC International) walaupun belum dibuktikan bersalah, ia sudah cukup menunjukkan bahawa pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah perlu berundur dan memberikan peluang kepada pemimpin lain untuk memimpin UMNO.
Pengundi atas pagar melihat bahawa banyak lagi pemimpin UMNO yang bersih, mempunyai karisma dan terbukti boleh menjalankan tugas dalam Kabinet disekat peluang mereka dalam kepimpinan tertinggi UMNO.
Buktinya, Pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan ditangguhkan sedangkan ia amat wajar diadakan dengan segera bagi membolehkan ahli UMNO menyatakan pandangan mereka terhadap kepimpinan UMNO ketika ini.
Rakyat juga melihat dalam kepimpinan UMNO, terdapat satu kumpulan yang jujur dan mempunyai prinsip menentang salah laku tetapi mereka tidak dibenarkan bersuara melalui Pemilihan UMNO sedangkan ia adalah platform terbaik untuk menentukan hala tuju parti.
Dan baru-baru ini, apabila UMNO menang dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor serta Najib berasakan dirinya kembali diterima rakyat, UMNO nampak begitu yakin yang mereka boleh kembali menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sedangkan rakyat terutamanya pengundi atas pagar senada dengan suara kepimpinan PAS yang mahukan supaya pentadbiran negara diteruskan sehingga habis penggal dan tidak perlu diadakan dalam masa terdekat kerana banyak lagi isu penting yang perlu diselesaikan ketika ini.
Dalam isu ekonomi misalnya, nilai ringgit yang makin merudum sehingga RM4.35 berbanding 1 Dolar Amerika amat menggusarkan kerana Malaysia amat bergantung kepada import banyak barang keperluan.
Kadar inflasi yang makin meningkat, di mana nilai duit yang dimiliki rakyat makin mengecil secara automatik akan menyebabkan kos sara hidup rakyat makin meningkat.
Ditambah dengan soal pendapatan dan gaji rakyat yang masih berada pada takut lama menyebabkan ada dalam kalangan pekerja B40 dan M40 masih ‘struggle’ untuk meneruskan kehidupan di bandar-bandar besar.
Jika disenaraikan satu persatu, banyak lagi isu rakyat yang perlu diberi perhatian berbanding keutamaan untuk mengadakan pilihan raya walaupun terdapat desakan yang kuat daripada segelintir pimpinan UMNO.
Dari kaca mata pengundi atas pagar banyak lagi isu membabitkan kepentingan umum yang perlu diberi perhatian berbanding fokus kepada isu untuk membolot kuasa yang secara zahirnya sudah dimiliki UMNO ketika ini.
Rakyat amat yakin, permasalahan yang dihadapi rakyat akan dapat ditangani dengan lebih berkesan apabila pimpinan dalam kerajaan tidak dialihkan fokus mereka dengan isu-isu politik yang secara jelas menyebabkan urusan negara menjadi terganggu.
Oleh itu, sebagai pemimpin yang berkuasa dalam kerajaan dengarkanlah pandangan ramai yang mahukan isu rakyat diberi keutamaan dalam saat negara berhadapan dengan krisis sedia ada serta krisis luar jangka yang mungkin lebih parah daripada keadaan sekarang.
- Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply