Penumpang panas hati penerbangan ditunda beberapa kali pada saat akhir

RATA-rata penumpang pesawat penerbangan AirAsia tidak berpuas hati dan berang dengan tindakan syarikat penerbangan berkenaan itu menunda dan menjadualkan penerbangan disaat-saat akhir sehingga isu berkenaan tular di media sosial.

Tinjauan SatuBerita di laman sosial TikTok mendapati ramai penumpang terpaksa berkampung di lapangan terbang selama berjam-jam ekoran penundaan penerbangan.

Menerusi satu perkongsian seorang pengguna, @callisf memaklumkan jadual penerbangannya bersama Air Asia dua hari lalu ditunda sehingga 6 jam sejak pukul 7.15 pagi sehingga jam 1.55 petang.

Malah katanya, ramai penumpang yang menaiki pesawat sama telah tiba di lapangan terbang seawal jam 6 pagi atau lebih awal kerana khuatir tertinggal penerbangan.

“Ini adalah penundaan paling lama pernah saya alami,” ujar seorang lagi pengguna, @fitsy di laman Tiktoknya setelah penerbangannya pada Ahad turut ditunda selama 8 jam.

Seorang lagi pengguna, @Jooan meluahkan penerbangannya menggunakan Air Asia dari Kuching ke Kuala Lumpur pada Ahad dijadualkan semula sebanyak empat kali masing-masing pada jam 4 petang, 7 petang, 9 malam dan akhirnya pada pukul 11 malam.

“Inilah pengalaman terburuk saya terbang bersama Air Asia. Penerbangan saya dari Kuching ke Kuala Lumpur dijadual semula sebanyak empat kali. Sudah lah saya ada kelas pada keesokan harinya dari jam 8 pagi hingga pukul 6 petang,” luah pengguna berkenaan.

Terbaharu, ahli politik Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang turut mengalami nasib sama membidas AirAsia dan berkata, syarikat penerbangan itu tidak sepatutnya menunda dan menjadualkan semula penerbangan sesuka hati tanpa mengambil kira kesulitan dan kos ditanggung pelanggan.

“Saya sudah melalui situasi ini beberapa kali bersama syarikat penerbangan yang sama, tetapi ini kali pertama penerbangan saya ditunda semula dua kali berturut-turut dan tiba 3.30 pagi keesokannya (di Kuala Lumpur),” katanya dalam Facebook beliau, hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, semakan mendapati penjadualan dan penundaan semula penerbangan bukan sahaja melibatkan penerbangan di Sabah dan Sarawak, malah penerbangan di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Johor, dan Langkawi, selain beberapa penerbangan antarabangsa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *