Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak pihak tertentu yang dikatakan seolah-olah ‘bergembira’ dengan kejadian ban pecah di Terusan Tengah dekat Struktur Alor Limpah, Sungai Santap di Pelubang, Kedah semalam.
Beliau menyifatkan golongan tersebut sebagai ‘bermasalah’ dan sepatutnya ‘duduk dalam hutan’ jika merasakan diri mereka ‘jahat’.
“Saya fikir ini budaya yang tidak baik kerana apabila berlaku kecemasan, kita sudah tentu mengharapkan supaya perkara ini dapat diatasi menerusi tindakan pihak berwajib.
“Tak patutlah kalau ada orang sebarkan perkara tak betul untuk timbulkan kontroversi atau kebimbangan kepada umum.
“Kalau ada orang gembira dengan kejadian sebegini, rasanya dia itu bermasalah atau dirinya memang jahat dan kalau dia jahat, dia tak patut hidup dengan kita sebalikya kena duduk di hutan,” katanya ketika meninjau lokasi runtuhan ban tersebut.
Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari semalam, ban milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu runtuh dipercayai akibat hujan lebat kelmarin.
Kejadian itu pada mulanya dijangka akan menyebabkan lebih 80,000 akaun pengguna terjejas dan mengalami gangguan air berikutan kegagalan LRA untuk beroperasi, berikutan kehilangan air di terusan berkenaan.
Bagaimanapun keadaan ketika ini terkawal dengan pihak MADA sudah pun membelat beberapa kawasan bagi meningkatkan air di terus berkenaan ke paras normal, sebelum melepaskan air di baraj Pelubang untuk membolehkan semua LRA dapat kembali beroperasi seperti biasa.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menambah, masalah bekalan air di kawasan yang terjejas berikutan kejadian ban pecah itu dijangka bakal pulih secara berperingkat bermula esok.
Beliau berkata, jumlah akaun pengguna (Syarikat Air Darul Aman) yang terjejas dalam kejadaian itu juga setakat ini hanyalah 13,500 saja dan bukannya 80,000 seperti jangkaan awal.
Katanya, keadaan itu disebabkan hanya satu saja Loji Rawatan Air (LRA) yang dihenti tugas buat masa ini iaitu LRA Pokok Sena yang menjejaskan bekalan air daerah tersebut.
“LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru setakat yang membekalkan bekalan air di Alor Setar, Pendang dan Yan masih beroperasi. Namun saya menasihatkan orang ramai supaya berjimat-cermat kerana kita tidak tahu berapa lama bekalan mampu bertahan sebelum keadaan kembali pulih sepenuhnya.
“Apa pun kerja-kerja pembaikan sudah pun berjalan dengan bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat bermula esok. Kos membaik pulih kerosakan akibat insiden ini dijangka menelan belanja antara RM1.5 hingga RM1.8 juta,” katanya.
Leave a Reply