Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
SEBANYAK 88.5 peratus doktor pelatih di Pulau Pinang menilai tahap tekanan yang dialami mereka ketika bertugas pada skala tiga dan lima.
Lebih mengejutkan, seperti yang didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), kira-kira 15.4 peratus daripada mereka menilai tahap tekanan yang dialami pada skala maksimum iaitu lima.
Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, pekerjaan profesional perubatan meletakkan seseorang dalam kedudukan unik yang mudah terdedah kepada tekanan.
Ini kerana katanya, mereka berada di bawah tekanan yang berterusan dengan rasa tanggungjawab untuk menjaga nyawa orang lain.
Sehubungan itu tambah Mohideen, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menjalankan kajian di seluruh negara memandangkan kes buli doktor pelatih dan doktor junior tidak terbatas kepada doktor di Pulau Pinang sahaja.
“Kajian itu seharusnya termasuk profesional penjagaan kesihatan lain seperti jururawat kerana mereka juga berada dalam persekitaran kerja dan sistem yang sama.
“Kajian di negara seperti seperti Finland, Norway, Australia, Singapura, dan China menunjukkan peningkatan dalam kebimbangan, kemurungan dan pemikiran ingin membunuh diri dalam kalangan pelajar perubatan dan profesional perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohideen, kes doktor pelatih yang dijumpai maut terjatuh dari bangunan di Pulau Pinang baru-baru ini sangat membimbangkan serta tidak boleh dibiarkan dan siasatan mengenainya harus dibuat secara menyeluruh.
Disebabkan isu-isu yang melanda profesion berkenaan juga, pihaknya menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang diwakili doktor, jururawat dan masyarakat awam untuk menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap doktor pelatih, beban kerja dan keadaan kerja mereka.
“Jawatankuasa ini perlu menerbitkan laporan dengan cadangan untuk memperbaiki keadaan kerja mereka dan memulihkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang wajar,” katanya.
Leave a Reply