Warga emas rentung, dua ahli keluarga melecur

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KEBAKARAN melibatkan sebuah rumah di Jalan Parit Abas, Benut di Pontian awal pagi ini mengorbankan seorang warga emas lelaki yang ditemukan rentung di dalam bilik di kediaman tersebut.

Pasukan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40 pagi segera ke lokasi kejadian, namun rumah separuh kekal tersebut didapati sudah terbakar hampir keseluruhan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut melalui Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor.

“Mayat warga emas yang telah rentung ditemukan di dalam bilik rumah tersebut, manakala dua mangsa lagi berjaya menyelamatkan diri.

“Kedua-dua mereka mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan daripada Klinik Kesihatan Benut,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Azhar, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan operasi terbabit ditamatkan pada pukul 4.50 pagi setelah keadaan didapati terkawal.

Operasi tersebut diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Othman Baher selaku Komander Operasi dengan dibantu oleh 27 orang anggota.

Sebanyak tiga jentera FRT, masing-masing sebuah jentera FRV dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian oleh BBP Pontian dengan dibantu oleh anggota dari BBP Pontian Baru, BBP Rengit dan Fire Post Benut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *