TINDAKAN seorang lelaki cuba menipu pihak polis bagi melepaskan diri selepas ditahan menyalahgunakan lorong kecemasan di Kilometer 434 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan tidak berhasil.
Pegawai Turus Lebuhraya Tengah Zon A, Jabatan Siasatan Jenayah Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Nasyrul Ridzuan Abd. Razak berkata, semasa ditahan lelaki itu menggunakan helah ibu sakit dan sedang dirawat Hospital Sungai Buloh sebagai alasan untuk menggunakan lorong kecemasan.
Namun katanya, helah itu terbongkar apabila pemeriksaan lanjut dengan pihak hospital mendapati ibu suspek tidak sakit dan ini disahkan oleh doktor bertugas.
“Lelaki itu ditahan ketika melarikan diri apabila diarahkan berhenti oleh polis yang menjalankan rondaan Op Selamat semalam.
“Kita mengesannya memandu di lorong kecemasan sebelum dia cuba melarikan diri ketika polis mengarahkannya berhenti pada 6.25 petang.
“Semasa anggota polis cuba memberhentikan kenderaannya, lelaki berusia 35 tahun itu terus memecut ke lorong kanan untuk melarikan diri,” katanya menurut Free Malaysia Today (FMT) yang memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata, polis yang mengejarnya mengarahkan suspek berhenti tetapi dia berdegil dan memandu dalam keadaan melulu dengan membuat zig zag yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Katanya, suspek akhirnya ditahan di KM22.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor.
Selain menipu katanya, hasil siasatan turut mendapati cukai jalan kenderaan yang dipandu suspek sudah tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek bersama tiga wanita. Cukai jalan kenderaan terbabit sudah tamat tempoh pada 6 Mei 2020,” katanya dengan menambah bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply