Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN
GELOMBANG kebangkitan rakyat hingga membawa kepada revolusi demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN) diramal berulang semula pada PRU-15.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, fenomena sama akan berlaku kerana perjuangan rakyat menentang kleptokrasi sehingga kini masih belum selesai.
“Rakyat mahukan golongan kleptokrasi yang merompak wang negara diheret ke mahkamah untuk diadili. Golongan kleptokrasi ini sama ada di dalam selimut ataupun di luar selimut perlu ‘ditelanjangi’ dan diheret ke mahkamah untuk dihakimi.
“Keajaiban mungkin berlaku lagi. Insya-ALLAH rakyat Malaysia yang patriotik akan bangkit menyelamatkan negara ini. Gelombang revolusi demokrasi rakyat akan berulang sekali lagi di peti-peti undi dalam PRU-15 nanti.
“Tetapi fenomena itu tidak boleh terjadi begitu sahaja dengan sendiri. Maka tugas kita semualah yang cintakan tanahair ini untuk berusaha bagi menjadikan harapan tersebut satu kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pada Isnin genap empat tahun revolusi demokrasi itu bermula dan perubahan radikal tersebut berlaku dalam lanskap politik Malaysia tanpa tumpah darah.
Jelasnya, perkara itu berlaku melalui kuasa rakyat yang diterjemah di peti undi dan mereka ingin melihat kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang di Putrajaya sekali gus perkara tersebut direalisasikan.
“Rakyat ingin melihat kerajaan BN tumbang di mana-mana. Itu juga berlaku. Dari utara, bermula di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, Kerajaan-Kerajaan BN tumbang. Kerajaan BN di Sabah juga kalah,” katanya.
Bukan itu sahaja katanya, apabila kerajaan Sarawak pula keluar daripada BN, hanya Pahang dan Perlis sahaja dikuasai BN manakala Terengganu dan Kelantan dimenangi semula oleh Pas.
“Keazaman rakyat di seluruh negara jelas inginkan perubahan. Di banyak kawasan Parlimen BN tumbang tersungkur termasuk di Puncak Borneo dan di Lubuk Antu, kedua-duanya di Sarawak,” ujarnya.
Keadaan itu katanya yang juga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, menunjukkan begitu kuat kesan revolusi demokrasi yang seperti ombak besar memukul pantai.
Menurutnya, rakyat menyambut kemenangan PRU-14 pada 09 Mei 2018 bagaikan mengecapi suatu kemerdekaan nasional daripada belenggu kuasa kuku besi yang mencengkam selama ini.
“Terasa lega dan kesyukuran di sana sini. Satu kemenangan ‘peoples power’. Pada PRU-14, rakyat ingin melihat, jika BN tumbang maka Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara. Harapan itu juga menjadi kenyataan.
“Pada PRU ke-14 yang lalu, rakyat ingin melihat, jika BN tumbang maka Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara. Harapan itu juga menjadi kenyataan. Sebuah kerajaan baru terbentuk menggantikan BN,” katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) katanya, menjadi kenyataan dan selama 61 tahun sejak merdeka, BN menjadi pemerintah kerajaan Persekutuan dan boleh dikalahkan sekali gus membuktikan perubahan boleh dilakukan, satu sejarah baharu terukir serta tidak ada sesuatu yang mustahil.
“Revolusi demokrasi juga bererti revolusi sosial. Rakyat dapat melihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangkap; Menteri dan Timbalan Menteri ditangkap; Pengerusi Felda ditangkap; Pengerusi Tabung Haji ditangkap, ‘First Lady’ isteri bekas Perdana Menteri juga ditangkap. Mereka disoal siasat, diheret ke Mahkamah dan didakwa mengikut lunas undang-undang. Satu kemenangan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Walaupun revolusi demokrasi ini hanya dapat bertahan selama 22 bulan, beliau berkata, akibat Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat rakyat tetapi peristiwa kebangkitan rakyat di peti undi itu tidak dapat dipadam dalam sejarah tanahair.
Leave a Reply