‘’Sepatutnya pergi ke mahkamah…saya tak terima dia punya penjelasan’’ – Tun Mahathir

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad ternyata tidak berpuas hati dengan jawapan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berhubung kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi ke atas beliau.

Hari ini, Dr.Mahathir menegaskan, Idrus harus tampil memberi penjelasan berhubung langkah penyelesaian di luar mahkamah kes saman tersebut.

Memetik laporan Berita Harian, Dr.Mahathir berkata,  penjelasan Idrus hanya melalui surat kepadanya tidak dapat mengelak kegusaran awam berhubung perkara itu.

“Ya, saya terima surat daripada dia (Idrus Harun). Biasanya surat itu rahsia. Saya tak boleh cakap, sepatutnya dia bagi tau kepada orang ramai. Saya tak terima dia punya penjelasan. Baik peguam negara sekarang, Apandi pun saya tak terima,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, sepatutnya perkara itu turut dibawa ke mahkamah bagi membolehkan masyarakat awam menilai pihak mana yang bersalah.

“Sepatutnya pergi ke mahkamah, tengok betul ke tidak tuduhan kononnya kita buang secara tidak mengikut undang-undang atau pun peraturan.

“Sebab sebelum ini kita kerap kali buang pegawai (kerajaan) yang tidak jalankan tugas dengan baik, kita memang keluarkan daripada kerajaan,” katanya.

Dr.Mahathir berkata, antara tindakan yang pernah diambil termasuk memberi cuti, menempatkan pegawai secara sementara di jabatan lain sebelum menamatkan perkhidmatannya.

“Tindakan seperti itu bukan baharu dan untuk Apandi sahaja, malah orang lain pun kena, tetapi orang lain tak ada buat tuntutan. Malah, kita nampak dia berat sebelah sebagai Peguam Negara, sepatutnya dia tak boleh memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan tidak sepatutnya membayar pampasan kepada bekas peguam negara itu, kerana tindakan dikenakan terhadapnya mengikut peraturan ditetapkan.

Dr.Mahathir membuat gesaan itu selepas Idrus hari ini berkata, beliau telah memaklumkan kepada Dr. Mahathir mengenai terma penyelesaian berkaitan saman difailkan Apandi terhadap bekas Perdana Menteri itu dan kerajaan Malaysia.

Menurut Idrus, berikutan penyelesaian itu, plaintif iaitu Apandi, telah menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *