PAS mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bersetuju proses demokrasi pilihan raya ditangguhkan sehingga tiba masanya bagi memberi peluang kepada kerajaan sedia ada menunaikan tugas dan tanggungjawabnya dalam tempoh baki penggal.
“Kita sudah buat kenyataan tiga negeri habiskan penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih dengan politik dan wabak (Covid-19) yang belum selesai. Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada laksanakan tugas dalam tempoh secukupnya. Oleh itu kita setuju PRU ditangguhkan,” katanya lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dengan menggerakkan semua jentera di seluruh negara dan menambah cawangan serta ahli.
Abdul Hadi turut menegaskan, Pas akan meneruskan agenda perpaduan ummah menerusi kerjasama dengan parti Melayu terbesar, iaitu Bersatu dan UMNO, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Kerjasama ini kita akan lihat perkembangan, sehingga kini kita teruskan kerjasama yang ada biar kukuh dan kuat,” katanya.
Leave a Reply