KKM produk

KKM tidak pernah peraku produk ganti ubat rawat diabetes

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak pernah memperakukan mana-mana produk atau makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes dan mengawal gula dalam darah.

Perkara itu dimaklumkan KKM dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini bagi menjelaskan tindakan laman Facebook Ainalienshop-TW yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan gambar yang telah diubah suai, memaparkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berserta kapsyen ‘blood sugar returns to normal’ (paras gula dalam darah kembali normal).

“KKM menyeru agar masyarakat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya.

“KKM juga sekali lagi ingin menegaskan kepada para pengusaha atau pemilik produk untuk lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan serta mengelirukan orang ramai,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter beliau malam ini berkata, perkara itu adalah satu lagi berita palsu disebarkan individu tidak bertanggungjawab untuk kepentingan perniagaan. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *