TOKOH wartawan hiburan, Mustafar Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Mustafar AR, 79, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban semalam.
Perkara itu disahkan anak kedua Allahyarham, Muszaidi Mustafar, 50, menerusi catatan di Facebooknya.
“Mohon doakan Abah saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Mustafar yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang kira-kira 10 pagi ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Zaini Yusop, 76, dan empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 41 hingga 51, serta 15 cucu dan dua cucu tiri.
Mustafar mula bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1972 sebelum bersara pada 1998 selain turut menghasilkan beberapa buah buku termasuk Filem-Filem P. Ramlee bersama seniman Allahyarham Datuk Aziz Sattar.
Sementara itu, Muszaidi ketika dihubungi berkata, bapanya yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, sebelum ini turut mempunyai masalah kesihatan lain termasuk kencing manis dan darah tinggi namun penyakit jantung hanya dikesan pada Januari lepas.
“Pertama kali abah dimasukkan ke HTJ adalah pada 19 hingga 24 Jan lepas dan dia dah okay tapi 6 hingga 9 April lepas dia sekali lagi dimasukkan ke HTJ kerana lemah jantung, yang terbaharu di Hospital Rembau sejak 20 April hingga semalam.
“Bagaimana Allahyarham dipindahkan semula ke HTJ kerana jantung sudah 30 peratus berfungsi dan menjejaskan organ lain serta perlu menjalani beberapa prosedur sebelum ahli keluarga dimaklumkan abah meninggal dunia semalam,” katanya.
Muszaidi berkata, tiada apa-apa perubahan sebelum bapanya meninggal dunia namun beliau lebih banyak menghabiskan masa dan bergurau dengan dengan anak-anak dan cucunya kebelakangan ini.
Menceritakan keperibadian bapanya, Muszaidi berkata, Allahyarham adalah seorang yang tegas dan komited serta sentiasa inginkan yang terbaik terutama dalam kerjayanya sebagai seorang wartawan.
“Kalau bab kerja abah memang serius dan kalau beri idea dia akan pastikan orang terima dan dia juga terima pendapat orang lain, apabila berbincang abah akan cuba menjadikan perkara yang dibincangkan itu direalisasikan,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply