Warga emas maut, lapan cedera nahas tiga kenderaan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki warga emas maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di Felcra Melikai, Jalan Nitar, Mersing pada malam tadi.

Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Honda City dan dua Proton Persona yang membabitkan sembilan mangsa.

Komander Operasi dari Balai Bonba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Yusof Mat Yar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 8.09 malam.

“Lapan anggota dengan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa dalam kereta Honda City, Mat Yusof Deris, 66, tersepit manakala seorang lagi iaitu
wanita dewasa cedera.

“Pihak bomba kemudian mengeluarkan mangsa lelaki yang tersepit itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pegawai perubatan yang hadir mengesahkan warga emas berkenaan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sementara mangsa wanita berkenaan telah keluar dengan sendiri dari kereta tersebut dan orang awam yang berada di tempat kejadian menghantarnya ke hospital berdekatan,” katanya.

Selain itu katanya, seorang wanita berusia 30-an serta seorang remaja lelaki berusia 17 dalam kereta Proton Persona turut cedera dan mereka keluar dengan sendiri kenderaan tersebut.

Katanya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan ambulan dari klinik kesihatan berhampiran sebelum dihantar ke hospital.

Menurutnya, lima mangsa dalam sebuah lagi Proton Persona turut cedera dan orang awam membantu menghantar mereka ke hospital sebelum pihak bomba tiba.

“Operasi tersebut tamat pada pukul 9.22 malam ” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *