Jangan buat spekulasi, henti sebar maklumat tidak sahih kejadian doktor pelatih HPP maut jatuh bangunan

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

JABATAN Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian seorang doktor pelatih yang dijumpai maut akibat terjatuh dari kediamannya pada 17 April lalu.

Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof Sudin berkata, kes itu kini adalah di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengarahkan bedah siasat ke atas mayat mayat dijalankan di Jabatan Forensik HPP.

Ujar beliau, laporan lengkap siasatan juga masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal

“Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka dan pihak HPP akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak PDRM dalam siasatan selanjutnya.

“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan bagi menghormati keluarga mendiang, JKNPP memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan berkenaan kes kematian seorang doktor pelatih HPP yang dijumpai maut akibat terjatuh dari bangunan kediamannya di Jalan Datuk Keramat, Georgetown pada 17 April lalu.

Mangsa merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke Pulau Pinang dan ditempatkan di HPP pada 4 April 2022.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong turut mengesahkan mengenai kejadian itu dan berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *