DUA remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda, di Kilometer 23 Jalan Pekan/Batu Balik di Pekan, Pahang hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zain berkata kejadian pada 5.30 petang itu, menyebabkan kedua-dua mangsa berusia 18 tahun yang dipercayai dalam perjalanan untuk beraya, maut di lokasi kejadian.
Mereka ialah penunggang motosikal Muhammad Nur Zulkefli Zakaria dan pembonceng Muhammad Ibrahim Mhd Kchairudin, dengan kedua-duanya berasal dari Kampung Temai Tengah dan Temai Hilir, Pekan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dari Pekan ke Batu Balik terbabas semasa mengambil selekoh, lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Mitsubishi Triton dinaiki dua beranak,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zaidi berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA
Leave a Reply