Azizulhasni patut jalani ujian MRI lebih awal – Dr SS Chema

‘’Jika imbasan CT atau MRI dijalankan dengan baik, keadaan itu sepatutnya dapat dikesan.’’ Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Antidoping Majlis Olimpik Malaysia Dr SS Cheema berhubung keadaan kesihatan atlet berbasikal Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Beliau mempersoalkan mengapa  Azizulhasni tidak dinasihatkan untuk menjalani saringan pengimejan resonans magnetik (MRI) oleh pakar perubatan.

Beliau berkata, tiada tindakan diambil meskipun terdapat aduan tentang beberapa simptom berkaitan jantung dialami atlet itu.

“Pada peringkatnya, seorang atlet berprestasi tinggi, aduan mengenai simptom-simptom seperti berasa mengantuk, kesakitan (pada dada) adalah agak biasa, jadi mungkin kerana itu, tiada tindakan lanjut diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada  sidang media secara dalam talian mengenai situasi kesihatan Azizulhasni semalam, lapor portal FMT.

Azizulhasni, 34, mengumumkan bahawa beliau semakin pulih selepas menjalani pembedahan jantung terbuka bagi masalah yang jarang dijumpai dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi yang janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April.

Penyakit berbahaya itu membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.

Beliau menjelaskan keadaan kesihatannya itu hanya boleh dikesan menerusi ujian canggih, dan ujian elektrokardiogram (ECG), ekokardiogram dan angiogram koronari CT terdahulu gagal mengesan masalah tersebut.

“Saya sangat bertuah kerana selepas itu saya melakukan MRI yang mengesan penyakit tersebut.

“Saya ketika itu sangat sihat, tidak mempunyai sebarang isu jantung, saya menyertai pertandingan dan menjalani latihan, tetapi saya cuma rasa tidak selesa pada dada, jadi saya fikir ia adalah normal untuk seorang atlet kerana kami melakukan latihan peringkat tinggi,’’ katanya.

Azizulhasni turut menasihatkan sama ada individu biasa atau seorang atlet supaya  melakukan saringan kesihatan penuh bagi memastikan tidak mempunyai isu lain.

“Saya rasa ia sangat penting untuk semua atlet melakukan pemeriksaan lengkap bagi memastikan mereka tidak mempunyai penyakit jarang jumpa ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, laman media sosial atlet Olimpik itu dibanjiri pesanan daripada para peminat dan mereka yang mendoakan beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *